Pura-pura beli barang, pemuda curi duit kedai dicekup polis

SERIAN-- Pura-pura beli barang, pemuda curi wang di sebuah kedai di Eastern Canteen di sini berjaya ditangkap.

Pemangku Ketua Polis Daerah Serian ASP Suriah Seleh berkata, suspek berusia 21 tahun itu ditangkap selepas perbuatannya itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV)

"Pada Sabtu polis menerima satu laporan kecurian yang berlaku di Eastern Canteen, Serian, Batu 1 Jalan Serian Sri Aman. 

"Dalam kejadian tersebut, mangsa telah didatangi pelanggan ingin membeli barang dan ketika mangsa mengambil barang di bahagian belakang, seorang lelaki berbaju hitam dan bertopi keledar masuk ke kaunter pembayaran dan mengambil wang dalam laci," katanya dalam kenyataan hari ini.


Jelasnya kejadian itu telah dirakam CCTV dan susulan itu polis berjaya menangkap suspek. 

"Suspek telah direman selama 4 hari untuk siasatan lanjut. 

"Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan," tegasnya.

Justeru, beliau menasihati masyarakat awam mahupun peniaga agar berhati-hati serta sentiasa peka terhadap kehadiran mereka yang tidak dikenali terutama di musim perayaan.
Next Post Previous Post