Pengubahan wang haram terbesar di Singapura, warga Kemboja dijel 13 bulan

SINGAPURA— Mahkamah di sini pada Selasa menjatuhkan hukuman penjara 13 bulan kepada seorang lelaki warga Kemboja kerana terlibat dalam pengubahan wang haram, yang dilaporkan media tempatan sebagai salah satu operasi pengubahan wang haram terbesar di dunia melibatkan rampasan atau aset dibekukan bernilai lebih S$3 bilion.

Su Wenqiang, 32, suspek pertama kes itu mengaku bersalah terhadap 11 pertuduhan iaitu menyimpan keuntungan yang diraih daripada kegiatan judi dalam talian, lapor portal republik itu, berita.mediacorp.

Su, yang memegang pasport dari Kemboja, Vanuatu dan China ditahan bersama sembilan lagi suspek di Singapura pada Ogos tahun lalu dalam serbuan di dalam banglo mewah di Lewis Road, Bukit Timah.

Pada Isnin, dia hadir di mahkamah menerusi satu pautan video dan mengaku bersalah menyimpan S$601,706, iaitu jumlah keseluruhan yang dikaut daripada perjudian haram yang dianjurkan dalam talian

“Aset bernilai lebih S$3 bilion dirampas atau dibekukan dalam kes itu. Ini menjadikannya salah satu operasi pengubahan wang haram terbesar di dunia dan kes berprofil tinggi di negara ini.

“Pihak berkuasa merampas lebih S$5.9 juta daripada Su, dalam bentuk wang tunai, kenderaan, barangan mewah dan minuman keras,” menurut portal itu.

Pihak pendakwa memberitahu mahkamah, operasi itu berpangkalan di Manila, Filipina membabitkan satu laman yang boleh diakses pengguna dari China menggunakan telefon mereka.

Taruhan di laman berkenaan diharamkan di China, jelas pihak pendakwa.

Su terlibat menguruskan kakitangan yang mengendalikan laman perjudian, dan juga menguruskan taruhan yang diterima menerusi komunikasi tidak secara bersemuka.


Next Post Previous Post