Pendidikan kedua-dua anak mendiang Joanna akan ditanggung Yayasan Sarawak hingga ke universiti-Abang Johari

SERIAN-- Kerajaan Sarawak mendaftarkan nama kedua-dua anak mendiang wirawati negara, LK I JJM Joanna Felicia Rohna dalam daftar Yayasan Sarawak.

Perkara ini dijelaskan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang turut memberitahu, kerajaan Sarawak juga menyumbangkan RM10,000 kepada waris mendiang semasa mengadakan lawatan di rumah suami mendiang, Bintara Muda Haslie Ali di Kampung Engkeroh, Tebakang, di sini hari ini.

Jelas Abang Johari, kedua-dua anak mendiang Allesia Felice Haslie, 4, dan Hovannes Haslie, 1, akan didaftarkan dalam daftar Yayasan Sarawak bagi memastikan pendidikan mereka terjaga hingga ke peringkat universiti.

"Kerajaan Sarawak menyumbangkan RM10,000 kepada keluarga mangsa dan kedua-dua anak mendiang akan kita masuk ke dalam daftar Yayasan Sarawak.

"Anak pertama mendiang masih dalam taska dan apabila anak ini masuk ke sekolah rendah, menengah dan universiti, Yayasan Sarawak akan menanggung kedua-dua anaknya yang masih berusia setahun dan berumur empat tahun ini.

"Hari ini saya memberitahu kepada keluarga mendiang khususnya bapa di mana kita akan mendaftarkan kedua-dua anaknya dalam daftar Yayasan Sarawak," katanya.

Mengenai tragedi malang itu, Abang Johari berkata, Sarawak kehilangan seorang wirawati anak Sarawak yang berani.

"Saya menerima berita sedih ini ketika berada di luar negara semasa menghadiri forum, sudah tentu kita kehilangan seorang wanita yang mempunyai semangat wira yang berpejuang bersama rakan-rakannya di Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

"Saya bagi pihak kerajaan mengucapkan simpati atas kehilangan ini dan sudah tentu kita akan cuba membantu sebaik-baiknya," ujarnya.

Dalam pada itu, Abang Johari yakin kedua-dua anak mendiang akan mengikuti jejak kedua-dua orang tuanya yang bertugas sebagai tentera kerana mempunyai semangat wira daripada ibu bapanya.

Mendiang Joanna merupakan antara 10 mangsa yang terkorban dalam nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak, pada pagi Selasa.

Jasad mendiang Joanna selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Kristian Kampung Engkeroh, Tebakang pada Khamis lalu selepas dibawa pulang dari Ipoh, Perak.
Next Post Previous Post