Miri paling ramai pelombong mata wang kripto, SEB rugi jutaan ringgit

ACP Alexson Naga Chabu (kiri) menyampaikan sijil kepada salah seorang anggota semasa Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri di padang kawad IPD Miri hari ini.

MIRI— Polis memandang serius kecurian elektrik berkaitan perlombongan mata wang kripto di Miri yang merekodkan kes tertinggi di Sarawak.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner (ACP) Alexson Naga Chabu berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan Sarawak Energy Berhad (SEB) bagi membanteras kecurian elektrik yang semakin membimbangkan.

“Seperti yang kita sedia maklum, kecurian elektrik ini di bawah bidang kuasa SEB.

“Setakat ini pihak polis belum menerima permintaan untuk melakukan rondaan, namun polis sedia membantu sekiranya 
terdapat permintaan,” katanya.

ACP Alexson Naga Chabu.

Alexson berkata demikian kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri di padang kawad IPD Miri hari ini.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Datuk Sebastian Ting Chew Yew melahirkan kebimbangan dengan kejadian curi elektrik yang berleluasa di Miri.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan berkata, Miri merekodkan jumlah kes kecurian elektrik tertinggi berkaitan perlombongan mata wang kripto. 

“Sehingga Mac tahun ini, sebanyak lima kes kecurian elektrik dilaporkan berlaku di sini manakala sembilan kes dalam siasatan.

“Manakala sejak 2020, lebih 100 kes kecurian berlaku di Miri mengakibatkan SEB menanggung kerugian jutaan ringgit,” katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.

Beliau menambah, kegiatan melombong mata wang kripto ini turut dikesan berlaku di kawasan pinggir dan luar bandar berbanding sebelum ini tertumpu di kawasan bandar.

Ting menggesa pemilik hartanah mengambil langkah sewajarnya bagi menggelakkan bangunan atau premis mereka disalahguna untuk kegiatan menyalahi undang-undang termasuk melombong mata wang kripto.
Next Post Previous Post