Keluarga Dari Sebuyau 'Bertuah' Jadi Pengunjung Ke Sejuta BCM

KUCHING-- Sebuah keluarga dari Sebuyau tidak menyangka kunjungan kali pertama mereka ke Muzium Budaya Borneo (BCM) sejak dibuka tiga tahun lepas membawa tuah selepas salah seorang daripada mereka menjadi pengunjung ke sejuta muzium berkenaan semalam.

Mohd Shahril Muhirin, 36, dan Noor Azirah Mohd Ali Kenapiah, 34, berkunjung ke muzium itu bersama dua anak mereka jam 10.55 pagi.

"Kami ke sini atas kehendak anak-anak, ketika membeli tiket masuk kami berasa hairan mengapa orang ramai bertepuk tangan. 

"Rupanya salah seorang anak perempuan 
saya iaitu Noor Shaziatul Amani,9, telah menjadi pengunjung bertuah sebagai pengunjung ke sejuta muzium ini," katanya.

Mereka diberikan sebuah tablet dan telefon pintar daripada pihak BCM, tumbler beserta 'tote bag' dari Restoran BCM dan juga t-shirt BCM daripada kedai cenderamata di BCM.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pencapaian menerima pengunjung ke sejuta merupakan hari yang bersejarah buat BCM.

Menurutnya, jika dibandingkan dahulu dalam satu tahun, Muzium Sarawak hanya menerima seramai 100,000 pengunjung untuk setahun. 

"Untuk muzium ini kita telah melihat peningkatan pengunjung dan menjadi lokasi yang mesti dikunjungi di Bandaraya Kuching," katanya selepas penyampaian hadiah kepada pengunjung 1,000,000.

BCM menerima pengunjung dari 152 negara seluruh dunia sejak mula beroperasi dengan mengumpul sebanyak RM 5.8 juta dari 2022 hingga 2024.

Bagi tahun 2024 sahaja BCM telah menerima seramai 6,093 pengunjung yang negara jiran Indonesia (865), Singapura (795), United Kingdom (522) dan Australia (416).
Next Post Previous Post