Lelaki lakukan amang seksual terhadap kanak-kanak di Tanah Perkuburan Lama di Betong berjaya ditangkap di Batu Niah

SRI AMAN-- Seorang lelaki diberkas disyaki terlibat dalam kes amang seksual seorang kanak-kanak di kawasan Tanah Perkuburan Lama, Kampung Kubal, Betong, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sri Aman DSP Mathew Manggie berkata, suspek berusia 38 tahun itu ditangkap sekitar jam 5.40 petang pada 19 April lalu di kawasan Kelapa Sawit Batu Niah, Miri oleh sepasukan polis daripada Balai Polis Batu Niah.

"Kes telah disiasat dibawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual
Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh membawa hukuman jika disabitkan
kesalahan penjara tidak melebihi tempoh 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, sebelum ini, pihak polis giat memburu seorang lelaki yang disyaki melakukan amang seksual terhadap seorang mangsa kanak-kanak di kawasan Tanah Perkuburan Lama, Kampung Kubal, Betong, setelah pihak polis menerima laporan pada 10 April lalu sekitar jam 6.40 petang.

Mengulas lanjut, Mathew berkata, suspek kini ditahan reman selama lima hari bermula hari ini hingga 25 April 2024.

Tegasnya, kes masih dalam siasatan.

"Justeru, orang ramai adalah dinasihatkan supaya lebih peka dan prihatin dengan kes-kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak kerana kejadian ini boleh memudaratkan kesihatan emosi dan mental yang berpanjangan kepada kanak-kanak sekiranya tidak dibendung dari awal.

"Seksyen 19 Akta yang sama iaitu kegagalan memberi maklumat mengenai perlakuan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak boleh didenda tidak melebihi RM5,000," ujarnya.

Pada masa sama beliau menasihatkan orang ramai untuk tidak menyembunyikan sebarang maklumat mengenai jenayah seksual terhadap kanak-kanak
Next Post Previous Post