"Jalan Mensia" Sarawak dinaiktaraf ikut standard Lebuhraya

Nanta semasa mempengerusikan mesyuarat antara KKR dan JKR Sarawak di Kuching.

KUCHING— Jajaran ‘redline’ sepanjang 136.7 kilometer (km) melibatkan jalan negeri dan persekutuan di Sarawak akan dinaik taraf kepada standard projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB).

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, istilah 'redline' membawa maksud laluan asal sedia ada sebelum pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) dan di Sarawak ia melibatkan kawasan Kuching, Serian, Bintulu, Julau dan Miri. 

“Projek pembinaan LPB Sarawak Fasa 1 telah dilaksanakan melibatkan laluan sepanjang 786 km, namun terdapat jajaran jalan sepanjang 136.7 km yang tidak terlibat dalam pembinaan dan kini dalam keadaan daif.

“Standard laluan ‘redline’ in yang dibina dahulu tidak menyamai standard ditetapkan di bawah pembinaan baru LPB. Kualiti di laluan ini perlu dinaiktaraf supaya mengikut standard yang sama di semua 11 pakej kontrak kerja (WPC) Pan Borneo yang diluluskan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Nanta berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat antara kementerian dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak pada Selasa, yang antara lain membincangkan isu penyelenggaraan jalan negeri dan jalan Persekutuan di Sarawak terutamanya membabitkan jajaran 'redline'.

Beliau berkata, melalui mesyuarat Ini, beberapa model penelesaian telah dicadangkan dan KKR sedang meneliti semua cadangan bersama JKR Sarawak, sebelum diputuskan di peringkat Persekutuan.

“Usaha in secara tidak langsung bakal mengoptimakan daya sumber Kerajaan Persekutuan dan juga Kerajaan Negeri Sarawak. Jajaran 'redline' ini memerlukan kerja pembaikan dan pemulihan segera bag menjamin kelancaran, keselesaan dan keselamatan kepada pengguna jalan lebuh raya di negeri ini.

Sementara itu, secara keseluruhan status terkini peratus penyiapan LPB Sarawak Fasa 1 adalah 99% dan dijangka akan dibuka sepenuhnya pada suku kedua tahun 2024, kecuali Seksyen Lambir (WPC11) di Miri yang perlu direkabentuk semula dengan jangkaan siap pada tahun 2026.

Untuk rekod, projek mega bernilai RM16 bilion itu dilaksanakan sejak 2015 dari Telok Melano, Sematan sehingga ke Jalan Pujut Link di Miri sepanjang 786 km.
Next Post Previous Post