Had laju Jalan Persekutuan diturunkan kepada 80 km/j bermula 8-14 April

KUALA LUMPUR— Had laju di jalan persekutuan di seluruh negara diturunkan kepada 80km/j berbanding 90km/j bermula 8 hingga 14 April sempena perayaan Aidilfitri.

Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pengurangan sementara had laju selama seminggu ini merupakan antara langkah keselamatan dan pemantauan yang diambi kerajaan bagi meningkatkan keselamatan dan mengurangkan risiko kemalangan jalan raya berdasarkan data sejarah kemalangan jalan raya semasa musim perayaan.

“Pihak konsesi Jalan Persekutuan juga diminta untuk menghentikan kerja-kerja pembinaan dan penyenggaraan jalan yang tidak kritikal mulai 5 hingga 14 April 2024 supaya tidak mengganggu aliran trafik kecuali kerja-kerja menampal lubang, kecemasan dan kritikal serta kerja pembinaan di luar rizab jalan.

“Bagi lebuh raya pula, syarikat konsesi tidak dibenarkan melaksanakan sebarang penutupan lorong lebuh raya kecuali bagi kes dan kerja kecemasan bermula dari 1 hingga 17 April,” kata kenyataan itu.

Katanya, ini sejajar dengan semangat dan aspirasi Program MyJalan yang dilancarkan KKR serta pendekatan seluruh rakyat dan negara untuk semua pihak termasuk rakyat bersama-sama bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan dan keselesaan pemanduan diutamakan terutamanya di Jalan Persekutuan.
Next Post Previous Post