Enam kereta terbakar disebabkan pembakaran terbuka
LIMBANG-- Enam kenderaan musnah dalam kebakaran di Jalan Taman Desa Babahanan, di sini akibat aktiviti pembakaran terbuka melibatkan longgokan kayu hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, enam kenderaan itu adalah sebuah kereta jenis Toyota Corola, dua buah kereta jenis Perodua Kancil, dua buah kereta jenis Proton Wira dan sebuah kereta jenis Suzuki Vitara, kesemua terbakar 100 peratus.
Jelasnya, bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar jam 2.54 petang tadi dan mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang ke lokasi.
"Tiba di lokasi mendapati kebakaran melibatkan enam buah kereta disebabkan oleh aktiviti kebakaran terbuka iaitu melibatkan longgokan kayu yang dilakukan di jarak 13 meter dari lokasi kejadian.
"Bagaimanapun, kebakaran tiada melibatkan sebarang kecederaan serta kemalangan jiwa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, bomba berjaya memadam kebakaran kereta yang terlibat dengan menggunakan 2 aliran salur bantu mula, pam jentera dan sumber air dari Pili Bomba berhampiran.
Katanya, operasi telah ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.41 petang.
"Setelah selesai pemadaman dan memastikan keadaan terkawal serta selamat, anggota seterusnya berangkat balik ke balai," ujarnya.