Pembonceng motosikal maut nahas tiga kenderaan

MIRI— Seorang pembonceng maut apabila motosikal yang ditunggang bersama rakannya merempuh pikap sebelum terbabas ke laluan bertentangan lalu dilanggar sebuah kereta di Jalan Bakam, Simpang Sungai Rait di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Alexson Naga Chabu berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira 8.30 malam ketika mendapatkan rawatan di Hospital Miri.

Beliau berkata, kemalangan berlaku melibatkan motosikal jenis Yamaha SS yang ditunggang oleh seorang lelaki berumur 19 tahun, pikap 
jenis Mitsubishi Triton dan kereta Perodua Viva, masing-masing dipandu lelaki berusia 37 tahun dan 50 tahun.

“Hasil siasatan polis mendapati motosikal dipercayai datang dari arah Bintulu ke Miri telah melanggar belakang kenderaan Mitsubishi. 

“Pelanggaran itu menyebabkan motosikal memasuki laluan bertentangan sebelum dilanggar dilanggar oleh kenderaan Perodua Viva,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Alexson menambah, kemalangan menyebabkan pembonceng dan penunggang motosikal cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Miri manakala pemandu dan penumpang kenderaan yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Next Post Previous Post