Dakwaan PADU digodam: KPWKM ambil langkah berjaga-jaga, PADU diperketatkan

KUCHING-- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengambil langkah berjaga-jaga susulan dakwaan data Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) telah digodam.

Menterinya, Dato Sri Nancy Shukri memberitahu, berikutan itu PADU telah diperketatkan walaupun dakwaan data yang digodam bukan melibatkan data yang terdapat dalam PADU.

“Setakat ini kita perketatkan sahaja (PADU), naik taraf belum ada lagi sebab kita masih menunggu peruntukan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Penasihat di Pejabat Premier Sarawak Datuk Seri Rohani Abdul Karim di sini hari ini.
 
Tambah Nancy, langkah berjaga-jaga itu bagi memastikan maklumat kliennya tidak diganggu gugat. 

“Apa yang perlu kita jaga adalah penerima bantuan kebajikan kerana kita tidak mahu maklumat mereka dimanipulasikan," tegasnya.

Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai agar berhati-hati dalam membuat kenyataan tentang PADU.

Jelasnya, ini kerana sistem itu adalah diperlukan bagi kerajaan menyalurkan bantuan kepada golongan sasar dan menyerahkan kepada Kementerian Ekonomi untuk melakukan apa yang terbaik.

“Kepada mereka yang memerlukan bantuan daripada kerajaan, mereka perlukan sistem seperti ini.

"Namun, jika ia diganggu gugat hingga memberi kesan kepada penerima bantuan, maka seluruh kementerian kerajaan perlu lihat semula mekanismenya,” ujarnya.
Next Post Previous Post