20 PATI ditahan sekitar Sarikei, Julau

Antara PATI yang ditahan dalam operasi di Sarikei dan Julau pada Jumaat lalu. Gambar ihsan JIM Sarawak

SARIKEI— Seramai 20 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak dalam operasi di sekitar Sarikei dan Julau, Jumaat lepas.

JIM Sarawak dalam kenyataan berkata, operasi oleh Unit Penguatkuasa Imigresen (UPI) Bahagian Sarikei itu dilakukan hasil maklumat dan risikan sejak beberapa minggu lepas.

“Pemeriksaan dilancarkan ke atas rumah kongsi, khemah sementara, kuarters pekerja dan rumah kediaman membabitkan enam lokasi di Sarikei dan tiga lagi lokasi di Julau.

“Seramai 53 individu telah diperiksa di kesemua lokasi melalui operasi tersebut melibatkan penahanan seramai 20 individu pelbagai warganegara,” katanya.

Kenyataan itu menambah, kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 melibatkan pelbagai kesalahan antaranya tinggal lebih masa dan tidak memiliki pas kerja yang sah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan adalah dipohon untuk menyalurkan aduan ke Pejabat Imigresen yang berdekatan atau menggunakan saluran aduan dalam talian.
Next Post Previous Post