Tak sampai 24 jam, suspek kedua kes ragut di Taman Desa Wira berjaya ditangkap

KUCHING-- Tak sampai 24 jam, suspek kes ragut wanita di Taman Dewa Wira Batu Kawa yang berjaya melarikan diri berjaya ditangkap petang tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong berkata, suspek kedua itu ditangkap sekitar jam 5 petang tadi di Jalan Lapangan Terbang Lama di sini oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Padawan.

"Dengan tangkapan suspek kedua kes mendatangkan cedera semasa samun ragut di Taman Desa Wira, pihak polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan berjaya selesaikan kes samun ragut yang dilaporkan pada pagi ini dalam tempoh kurang daripada 24 jam. 

"Suspek yang ditankap mengaku sebagai penunggang motosikal yang telah berjaya melarikan diri ketika rakannya ditahan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tegasnya, kedua-dua suspek merupakan warga tempatan dan berusia 20 dan 30 tahun.

"Mereka akan direman pada esok di Mahkamah Kuching bagi siasatan lanjut," tambah Lim. 

Dalam pada itu, beliau mendedahkan suspek kedua yang ditangkap itu mempunyai rekod lampau berkaitan dadah. 

"Kes ini selesai dengan tertangkapnya kedua-dua suspek dan pihakpolis akan menyiasat lanjut penglibatan kedua-dua suspek dengan lain-lain kes yang mempunyai modus operandi yang sama," ujarnya.

Dalam insiden ragut ini, Lim memberitahu seorang mangsa wanita tempatan berusia dalam lingkungan lewat 50-an mengalami kecederaan ringan semasa diragut di Taman Desa Wira, Batu Kawa.

"Kejadian ini berlaku pada jam 7.54 pagi semasa mangsa sedang berjalan kaki di tepi jalan telah didatangi sebuah motosikal berwarna merah dari arah belakang yang dinaiki oleh dua suspek lelaki yang telah bertindak meragut beg sandang milik mangsa," katanya.

Mengulas lanjut, Lim berkata, mangsa berusaha untuk mempertahankan begnya daripada dilarikan oleh suspek.

"Dalam masa yang sama sebuah kenderaan yang dipandu oleh orang awam telah berhentikan kenderaannya di hadapan motosikal saspek tersebut dan telah berjaya menahan salah seorang daripada saspek bersama dengan sebuah motosikal," katanya.

"Susulan insiden ini, mangsa mengalami sedikit luka dan calar semasa pergelutan berlaku namun tiada kecederaan serius dialami," ujarnya.

Beliau memberitahu, kes ini disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan cedera semasa melakukan samun ragut. 

Tegasnya, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh 20 tahun dan dengan sebatan. 

 "Saya mengucapkan terima kasih ke atas tindakan orang awam tersebut dan mengalu-alukan apa jua bentuk maklumat yang dapat membantu pihak PDRM," ujarnya.
Next Post Previous Post