Edar dadah di pusat hiburan, dua individu ditahan

Rampasan semasa serbuan di sebuah pusat hiburan di Miri. Gambar ihsan PDRM

MIRI— Seorang lelaki dan seorang wanita yang merupakan warga tempatan ditahan kerana memiliki pelbagai jenis dadah yang dipercayai untuk diedarkan di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner (ACP) Alexson Naga Chabu berkata, kedua-dua suspek ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah Miri di sebuah pusat hiburan di sini.

“Semasa penahanan tesebut, polis menemukan sejumlah dadah jenis Ketamine seberat 9.68 gram dan serbuk Ecstasy seberat 15.36 gram.

“Turut ditemukan adalah pil Erimin 5 seberat 8.47 gram. Jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM1,710,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Kedua-dua masing-masing berusia 23 dan 46 kini ditahan reman membantu siasatan.

Katanya, kes ini disiasat dibawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara penjara tidak kurang dari dua tahun dan tiga kali sebatan jika sabit kesalahan.

“Kes ini turut disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan, didenda tidak lebih daripada RM100,000 atau dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Alexson menasihatkan masyarakat agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka untuk segera melaporkannya di mana-mana Balai Polis berhampiran agar aktiviti ini dapat dibendung dan dibanteras bersama.
Next Post Previous Post