UMS, Unimas kaji harga barang di Sabah dan Sarawak

Datuk Seri Fadillah mempengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa Penstabilan Harga Sabah dan Sarawak

KUALA LUMPUR — Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan melaksanakan Kajian Penstabilan Harga di Sabah dan Sarawak bagi mencari kaedah terbaik untuk menstabilkan harga barang di wilayah itu.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat dalam mesyuarat pertama jawatankuasa berkenaan yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof pada Khamis.

Menurut kenyataan itu, kajian yang dibuat kedua-dua universiti itu, kerajaan juga mendapatkan data-data senario semasa dan trend kedudukan harga barangan negeri-negeri berkenaan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Bahagian Harga Barangan Negara KPDN.

“Ini adalah bagi untuk memastikan pelan tindakan yang diambil oleh Kerajaan dalam langkah intervensi ke atas penstabilan harga di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan berlandaskan data yang ada.

“Kerajaan Persekutuan dan Negeri kekal cakna mengenai isu harga barang serta perkhidmatan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.

“Agenda ini akan digerakkan melalui pendekatan whole of nation approach termasuklah penglibatan secara langsung kerajaan-kerajaan negeri mengambil kira bidang kuasa kerajaan negeri dalam aspek tertentu melibatkan sektor makanan,” kata kenyataan itu.

Turut dibincangkan kertas-kertas makluman dan pertimbangan berkenaan situasi pendapatan, perbelanjaan isi rumah dan kadar inflasi serta senario semasa dan trend kedudukan harga barangan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan yang dibentangkan ole Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Bahagian Harga Barangan Negara (KPDN).

Jawatankuasa ini ditubuhkan susulan pengumuman YAB Perdana Menteri supaya dikenal pasti pendekatan dan kaedah terbaik dalam memastikan kestabilan harga barangan dan perkhidmatan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Mesyuarat turut dihadiri oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, wakil-wakil Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, Ketua Setiausaha Kementerian yang berkaitan, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan dan ahli-ahli Jawatankuasa Penstabilan Harga Di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Next Post Previous Post