Rayu kurangkan jaminan sebab perlu beri kucing makan

SHAH ALAM— Seorang lelaki yang didakwa atas pertuduhan memiliki dadah merayu di Mahkamah Majistret supaya jaminan dikurangkan kerana ada kucing yang perlu diberi makan.

Erwan Abdul Ghani mengemukakan rayuan itu dihadapan Majistret Sasha Diana Sabtu selepas mengaku salah terhadap pertuduhan itu.

"Mohon kurangkan jaminan, sebab saya ada banyak tanggungan, kucing pun kena beri makan," katanya dipetik Harian Metro.

Erwan didakwa memiliki dadah jenis kanabis dengan berat anggaran 4.30 gram dekat ruang tamu sebuah rumah di Kampung Paya Jaras, Sungai Buloh kira-kira jam 10 malam pada Selasa lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farah Sofea Norazman, menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 kepada tertuduh sementara menanti tarikh jatuh hukum.

Sasha Diana kemudian mengulangi jumlah jaminan itu sebelum membenarkan Erwan membuat rayuan terhadap tawaran yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan dan menetapkan jaminan sebanyak RM3,800 dengan seorang penjamin.

Dia yang tidak diwakili peguam dituduh di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga lima tahun, denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Majistret menetapkan 7 Jun ini bagi menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh.
Next Post Previous Post