Empat penjenayah tegar dicekup polis

KUCHING-- Empat lelaki penjenayah tegar diberkas berasingan disyaki terlibat dalam tiga kes curi kenderaan di kawasan bandar raya ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Merbin Lisa berkata, empat suspek merupakan lelaki tempatan berusia 31 hingga 38 tahun, ditangkap sekitar jam 10 pagi pada Khamis.

"Kesemua mereka ditangkap oleh sepasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah bersama anggota Balai Polis Gita, Balai Polis Sentral dan IPD Kuching di empat lokasi berasingan di kawasan Kuching. 

"Hasil siasatan awal ke atas keempat-empat suspek, dipercayai terlibat dalam tiga kes curi kenderaan motosikal di kawasan Kuching iaitu di Jalan Gertak dan kawasan Metrocity," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Merbin, polis turut merampas dua motosikal beserta anak kunci, satu tangki minyak motosikal dan satu topi keledar yang pernah dilaporkan hilang di Kuching.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, hasil ujian air kencing mendapati tiga daripada suspek positif dadah jenis amp/meth.

"Ketiga-tiga suspek masing-masing turut memiliki lima, lapan dan 11 rekod lampau melibatkan jenayah dadah, jenayah harta benda dan jenayah kekerasan," tegasnya lagi.

Katanya, kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 1 tahun dan tidak lebih dari 7 tahun dan boleh juga dikenakan denda. 

Menurutnya, permohonan reman ke atas keempat-empat suspek telah dimohon di Mahkamah Kuching dan reman diluluskan sehingga 12 Mac 2024.

"Soal siasat lanjut akan dijalankan untuk mengenal pasti penglibatan di dalam lain-lain kes jenayah khasnya curi kenderaan.

"Oleh itu, polis menyeru orang awam untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dengan menghubungi pusat kawalan IPD Kuching di talian 082- 244444 atau menyalurkan maklumat di balai polis yang berhampiran," ujarnya.
Next Post Previous Post