Sarawak negeri pertama biayai projek Persekutuan

Anwar ditemui media pada majlis Berbuka Puasa Madani Sarawak 2024 di Masjid Al-Muttaqin, semalam. Gambar ihsan UKAS

KOTA SAMARAHAN— Kerajaan Sarawak catat sejarah negeri pertama menggunakan dana sendiri terlebih dahulu untuk membiayai projek Persekutuan di negeri ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai permulaan kerajaan Sarawak akan melaksanakan Pusat Kanser Sarawak di sini.

“Ini adalah kali pertama dalam sejarah Malaysia kerajaan Persekutuan membenarkan tanggungjawabnya diserahkan kepada kerajaan Negeri, supaya projek dapat dilaksanakan dengan lebih cepat, cekap dan berkesan.

“Kalau kita lihat kaedah biasa (menunggu peruntukan persekutuan) ia akan mengambil masa dan kosnya juga tinggi.

“Namun, Sarawak kata mereka mampu mulakan projek sebegini dengan kos yang lebih rendah dan pantas, maka saya setuju dan kita akan bawa ke kabinet dan kita akan luluskan supaya Sarawak boleh kendalikan,” katanya dipetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Beliau berucap demikian pada Majlis Berbuka Puasa Madani Sarawak 2024 di Masjid Al-Muttaqin, di sini malam tadi.

Hadir sama Timbalannya, Datuk Seri Fadillah Yusof, Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, kedua-dua timbalannya Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian.

Menteri Kewangan itu menambah, persetujuan untuk melaksanakan kaedah baharu itu dicapai dalam mesyuarat beliau bersama dengan Premier Sarawak serta kerajaan negeri di Pejabat Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak.

Beliau berkata, terdapat kaedah lain yang dicadangkan di mana sekolah dan klinik di kawasan luar bandar turut dibina. 

“Saya bersetuju kita membawa kaedah baharu di mana Sarawak boleh mengeluarkan sejumlah kecil pembiayaan dan kerajaan persekutuan akan menampungnya nanti,” katanya.

Terdahulu, Anwar melahirkan rasa terima kasih dan rasa bangga terhadap Sarawak di atas kejayaan dan kemajuan yang dicapai sehingga kini, di samping mengiktiraf sokongan dan kerjasama erat yang diberikan kerajaan Sarawak kepada kerajaan Persekutuan dalam usaha bersama ke arah yang lebih baik dan pembangunan mampan.

“Ada satu perkara yang saya ingin tekankan di sini, ialah apabila Premier bercakap dengan saya, beliau tidak pernah membincangkan saham atau projek untuk dirinya sendiri, tetapi dia berbincang untuk rakyat, bagaimana menggunakan kuasa kita untuk memudahkan cadangannya.

“Sebab itu saya yakin Sarawak mempunyai harapan di mata dunia, kerana dasarnya jelas, politiknya stabil dan kukuh, kepimpinannya hanya tertumpu kepada masalah pembangunan negara dan juga tahu isu apa yang perlu diutamakan.

Pada majlis itu, Anwar menyampaikan sumbangan berjumlah RM15,000 dan bakul makanan sempena Aidilfitri kepada waris Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKMS) Sarawak.
Next Post Previous Post