Lelaki Maut, Kereta Dipandu Langgar Jengkaut Diparkir

SIBU--Seorang lelaki maut selepas kereta dipandu melanggar bahagian belakang sebuah jengkaut yang diparkir di jalan laluan menuju ke Nanga Tutus di sini, malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 9.27 malam dengan menggerakkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah ke lokasi kejadian.

"Kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Kenari telah melanggar bahagian belakang jengkaut yang diparkir di jalan laluan menuju ke Nanga Tutus. 

"Terdapat seorang mangsa lelaki di dalam Perodua Kenari dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berada di tempat duduk pemandu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, anggota mengeluarkan mangsa yang tidak tersepit. 

"Mangsa telah diperiksa oleh pegawai kesihatan Hospital Sibu yang hadir bersama di lokasi kejadian dan mangsa telah disahkan meninggal dunia. 

"Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan lanjut," ujarnya.
Next Post Previous Post