"Keluang" lari tinggalkan kereta bila terserempak polis, namun ditangkap jua

KUCHING-- Seorang lelaki sanggup meninggalkan keretanya yang terlibat kemalangan ketika cuba melarikan diri setelah terserempak dengan pasukan Unit Rondaan Bermotorsikal (URB), Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong berkata, semasa pasukan membuat rondaan sekitar jam 3.20 pagi pada 29 Mac di Jalan Ensing Timur, Batu Kawa, telah terserempak dengan sebuah kereta jenis Proton Saga warna hitam dalam keadaan yang mencurigakan. 

"Apabila menyedari kehadiran pihak polis, kereta tersebut terus memecut dan terbabas melanggar sepohon pokok di tengah pembahagi Jalan Utama Batu Kawa. 

"Suspek telah melarikan diri dan meninggalkan kereta yang dipandunya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya lagi, ketika pemeriksaan ke atas kereta tersebut, polis telah menemui pelbagai peralatan pecah rumah serta kabel yang telah dipotong.

"Hasil risikan maklumat, polis Padawan telah berjaya kenal pasti suspek lelaki tempatan berusia 22 tahun tersebut dan tangkapan telah berjaya dilakukan pada 30 Mac 2024, jam lebih kurang 1.30 petang," tambahnya.

Kata Lim semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai dua rekod berkaitan dadah. 

"Soal siasat awal mendedahkan bahawa kesemua peralatan pecah rumah yang dijumpai adalah miliknya. 

"Suspek turut mengakui terlibat dalam beberapa kes kecurian kabel dan siasatan akan diperincikan," katanya.

Tegasnya, kes disiasat dibawah Seksyen 35 (g) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil
Sarawak 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara selama enam (6) bulan atau denda jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan
bahawa pihak polis memandang serius ke atas jenayah yang berlaku di daerah Padawan serta menyeru masyarakat agar sentiasa menyalurkan maklumat kepada pihak polis.
Next Post Previous Post