Anak Sarawak antara lima pelajar nahas di Lake Tekapo, New Zealand

KUALA LUMPUR-- Anak Sarawak antara lima pelajar Malaysia yang dilaporkan terlibat dalam kemalangan jalan raya di Lake Tekapo, New Zealand hari ini.

Dalam nahas itu, dua pelajar terkorban dikenali sebagai Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni (JPA) University of Canterbury dan Wan Nur Adlina Alisa University of Canterbury (Private Student).

Manakala anak Sarawak, pelajar wanita antara tiga mangsa yang tercedera dalam kemalangan itu.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata, Kementerian Luar Negeri, melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, New Zealand mengesahkan insiden kemalangan itu.

Jelasnya, dalam kemalangan sekitar jam 1.45 petang waktu tempatan, dua daripada mangsa dilaporkan terkorban di tempat kejadian.

"Manakala tiga orang lagi telah diterbangkan ke Hospital Christchurch, South Islands, New Zealand untuk mendapatkan rawatan segera," katanya.

Tambahnya, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, dengan bantuan komuniti Malaysia di Christchurch, sedang menghulurkan bantuan konsular sewajarnya kepada mangsa dan ahli keluarga bagi memastikan pengurusan kebajikan kesemua mangsa berjalan dengan lancar. 

Selain itu katanya, Kementerian Luar Negeri dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia sedia membantu sekiranya pihak waris membuat keputusan untuk membawa pulang jenazah ke Malaysia.

"Kementerian Luar Negeri juga ingin merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden ini," ujarnya.

Sehubungan itu, rakyat Malaysia yang memerlukan sebarang bantuan konsular boleh berhubung terus dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington di butiran Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington beralamat di 10 Washington Avenue Brooklyn, Wellington atau menghubungi +64-4-3852439/+64-210440188 (kecemasan) atau emel ke mwwellington@kln.gov.my.
Next Post Previous Post