RM1.08 bilion ganti paip lama seluruh Sarawak

Abang Johari menyempurnakan simbolik perasmian Masjid Jamal Ad-Din di Taman Jelita Taman Tunku malam tadi.

MIRI— Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM1.08 bilion bagi melaksanakan program menaik taraf dan penggantian paip lama yang telah usang di seluruh negeri.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, langkah ini selaras dengan usaha kerajaan menyelesaikan masalah gangguan bekalan air yang berpunca daripada paip lama.

“Walaupun liputan bekalan air di seluruh negeri hampir mencecah 90 peratus, tetapi kita hendak menukar paip kita..paip semua paip lama.

“Bermakna kita terpaksa menggantikan dengan paip baharu seluruh Sarawak yang menelan kos kira-kira RM1.08 bilion 

“Jadi saya meminta Datuk Sri Julaihi Narawi selaku Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak untuk meneruskan perancangan ini, dan saya akan mencari dana untuk menaik taraf bekalan air dan bekalan elektrik untuk seluruh masyarakat di Sarawak,” katanya
Masjid Baharu Taman Jelita, Miri yang dinamakan Masjid Jamal Ad-Din. Gambar ihsan UKAS

Abang Johari berkata demikian pada Majlis Perasmian Masjid Baharu Taman Jelita di sini, pada Jumaat.

Setakat ini, kerajaan menerusi Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak sudah mengenalpasti kira-kira 2,740 kilometer paip lama yang perlu diganti yang dijangka mengambil masa lima tahun.

Daripada jumlah itu, RM247 juta diperuntukkan untuk menggantikan paip usang atau rosak di sekitar bandar raya Kuching dan Samarahan yang dijangka bermula dalam tahun ini.

Sementara itu pada majlis yang sama, Abang Johari turut menamakan Masjid Baharu Taman Jelita kepada Masjid Jamal Ad-Din yang membawa maksud ‘Kecantikan Dalam Agama’.

Masjid Jamal-Din ini menggantikan fungsi solat Jumaat Masjid Al-Firdaus, Taman Tunku dan mampu memuatkan kira-kira 1,100 jemaah pada satu masa.

Premier turut mengumumkan peruntukan RM4 juta bagi menambah kemudahan di masjid tersebut termasuk penyediaan van jenazah, fasiliti akad nikah serta ruang untuk pengurusan jenazah. 

Beliau turut menyampaikan dana bagi Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM395,000 untuk diagihkan kepada 23 masjid dan surau serta 16 gereja dan chapel di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lambir serta sumbangan duit Raya kepada 64 anak-anak Peryatim dari Kompleks Kebajikan Hamidah Yakup, Miri.

Sebelum itu Abang Johari turut berbuka puasa serta menunaikan Solat Maghrib, Isya dan Tarawih secara berjemaah bersama tetamu jemputan yang turut hadir.
Next Post Previous Post