Imigresen gempur ‘syurga’ PATI di Sarikei

SARIKEI— Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak menahan tiga pendatang tanpa izin (PATI) dalam Op Sapu di kem balak dan ladang sawit di Pakan, di sini awal pagi semalam.

JIM Sarawak berkata, kejayaan itu adalah hasil maklumat orang awam dan risikan Unit Penguatkuasa Imigresen (UPI) Bahagian Sarikei.

“UPI Bahagian Sarikei tidak ketinggalan dalam menguatkuasakan operasi PATI di Sarikei dengan membuat pemeriksaan di tiga lokasi terpencil seperti kem balak dan ladang sawit di Pakan.

“Hasil maklumat orang awam dan risikan kami, seramai 16 individu telah diperiksa di tiga buah lokasi yang telah dikenalpasti melalui operasi yang dilancarkan.

“Dua ditahan di sebuah ladang sawit manakala seorang lagi di kem balak di sini. Kesemuanya akan didakwa di bawah Akta Imigresen 1959/63 atas pelbagai kesalahan antaranya tinggal lebih masa dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan semalam.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan adalah dipohon untuk hadir terus ke pejabat imigresen yang berdekatan untuk saluran maklumat berkaitan atau melalui saluran aduan online sedia ada.
Next Post Previous Post