Aktiviti seleweng diesel di Kota Samarahan tumpas

KUCHING-- Lagi kes cubaan menyeleweng minyak diesel dipatahkan apabila 800 liter diesel berjaya dirampas di Kota Samarahan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya hari ini telah menerima satu kes serahan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan yang melibatkan aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi diesel.

"Hasil pemeriksaan, KPDN Sarawak telah menyita sebuah kenderaan lori Bonded Jenama Inokom, minyak diesel anggaran 800 liter dengan anggaran nilai RM1,720 dan dua unit IBC Tank dan satu pam elektrik," katanya.

Tambahnya, keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM12,320.

Tegasnya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti individu/syarikat yang terlibat dalam aktiviti atau rantaian pengedaran minyak diesel termasuklah sumber minyak diesel diperolehi dan edaran mana-mana pihak tidak bertanggungjawab.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM5juta bagi kesalahan kedua untuk sesuatu pertubuhan perbadanan.

"Manakala bagi orang perseorangan didenda tidak melebihi RM1 juta bagi kesalahan pertama atau penjara tidak melebihi tempoh selama tiga tahun atau kedua-duanya dan denda tidak melebihi RM3 juta ringgit bagi kesalahan kedua atau penjara tidak melebihi tempoh selama lima tahun atau kedua-duanya," jelasnya.

Justeru, katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak Kementerian melalui saluran WhatsApp 019-848 8000 / 019-279 431K, Portal Aduan e-aduan.kpdn.gov.my, Call Centre 1-800-886-80, dan aplikasi telefon Pintar Ez ADU KPDN.
Next Post Previous Post