PETRA, Sarawak tubuh jawatankuasa penyelaras

KUCHING— Sebuah jawatankuasa penyelaras antara Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA)dan Kerajaan Negeri Sarawak akan ditubuhkan bagi memastikan kelancaran projek dan program yang dirancang.

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, jawatankuasa itu diharap dapat membantu perlaksanaan projek dan program kementerian demi rakyat Sarawak.

“Kerajaan Persekutuan sentiasa prihatin dan cakna dalam memastikan kelestarian dalam pelaksanaan projek-projek kerajaan untuk menjamin impak yang maksimum kepada rakyat negeri Sarawak.

“Pemantauan yang komprehensif dan berterusan merupakan kunci utama kepada pembangunan negara yang seimbang seperti mana yang dihasratkan dalam Malaysia Madani,” katanya dalam kenyataan.

Fadillah dan Abang Johari berbincang mengenai penubuhan jawatankuasa penyelaras antara PETRA dan Kerajaan Negeri Sarawak di Wisma Bapa Malaysia hari ini.

Beliau berkata demikian semasa mesyuarat rombongan dari PETRA bersama kerajaan negeri diketuai Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di Wisma Bapa Malaysia, hari ini. 

Terdahulu Timbalan Perdana Menteri itu selaku ketua rombongan kementerian mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier. 

Fadillah turut ke Wisma Persekutuan Kuching untuk mendengar taklimat mengenai projek-projek Sarawak oleh agensi pelaksana projek-projek Kerajaan Persekutuan di Sarawak.

Sebanyak 46 projek diluluskan di bawah sektor air di Sarawak menerusi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) 
iaitu 33 projek sambungan dan 13 projek baharu dengan kos sebanyak RM6.01 bilion. 

Jumlah yang telah diluluskan bagi pelaksanaan tahun ini adalah sebanyak RM298 juta.

Projek-projek yang diluluskan ini merangkumi perlindungan banjir dan banjir pantai, hakisan pantai, pemuliharaan muara dan kajian pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu. 

Selain itu pembangunan loji rawatan kumbahan, loji rawatan enapcemar, pembangunan sistem pembetungan dan menaik taraf loji rawatan air.
Next Post Previous Post