Geng gaduh guna kerusi diberkas polis

SARIKEI-- Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sarikei telah menahan dua individu yang dipercayai terlibat dalam satu kes pergaduhan di hadapan sebuah premis makanan di sini, yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sarikei, P/Superintendan Aswandy Anis berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan atas kesalahan gaduh gempar di tempat awam. 

Menurutnya, jika disabitkan kesalahan kedua-dua lelaki itu boleh dihukum denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

“Merujuk kepada video berdurasi 49 saat yang tular di laman sosial, polis mendapati kejadian berlaku di pekarangan hadapan sebuah kedai minum di Jalan Pinang Laka.

“Kita juga menerima laporan berhubung kejadian itu, katanya dalam kenyataan hari ini.

Kejadian membabitkan dua lelaki yang bergaduh menggunakan kerusi plastik itu sempat tular di laman sosial sehingga mengundang pelbagai komen daripada warga net.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, memandang serius ke atas apa-apa kejadian yang boleh menggugat ketenteraman awam di daerah ini. 

"Kita meminta masyarakat agar terus menyalurkan apa-apa maklumat kejadian jenayah kepada pihak polis," ujarnya.
Next Post Previous Post