31.7kg syabu dirampas, enam suspek ditangkap di Miri dan seorang di Bintulu

KUCHING-- Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak berjaya merampas 31.7 kilogram dadah jenis syabu dalam serbuan berasingan di Miri dan Bintulu.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, dalam serbuan di Miri yang dijalankan JSJN Sarawak dan IPD Miri pada Ahad itu seramai enam suspek ditangkap terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita berusia antara 28 hingga 50 tahun.

"Semasa pemeriksaan dilakukan di rumah tersebut telah menjumpai dadah dipercayai syabu seberat 21,700 gram yang mana kalau ikut nilai pasaran sekarang berjumlah RM716,000.

"Dalam serbuan itu, polis turut merampas wang tunai RM52,000, barang kemas RM54,941.40 dan empat buah kenderaan dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan termasuk dadah adalah sebanyak RM1.2 juta," katanya pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini hari ini.

Hadir sama Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata bersama Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Ibrahim Darus.

"Kalau kita lihat jumlah dadah yang dirampas ini ia boleh diguna 108,500 penagih," jelasnya.

Tambahnya, kesemua suspek telah menjalani ujian saringan air kencing dan didapati seorang daripada enam suspek positif dadah.

Tegas Khaw, tangkapan dan rampasan itu dibuat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1953 dan suspek direman selama tiga hari bermula 18 hingga 21 Mac 2024 bagi membantu siasatan.

Mengenai modus operandi, beliau memberitahu, sindiket ini adalah mendapatkan bekalan dadah dari Semenanjung dan mengubahsuai tong gas dengan memasukkan sejumlah dadah dan menghantar ke satu lokasi yang akan ditetapkan sebelum dipasarkan ke negara jiran.

Jelasnya lagi, sindiket ini dipercayai mula aktif sejak awal tahun 2024.

"Semakan rekod jenayah juga mendapati salah seorang suspek mempunyai satu rekod lampau kesalahan di bawah Seksyen 3(1) Langkah-Langkah Pencegahan Penganiayaan Terhadap Binatang 1953.

"Hasil operasi ini, JSJN telah berjaya menumpaskan aktiviti pengedaran dadah jenis methamphetamine untuk pasaran negara jiran.

"Kita percaya dadah ini untuk diseludup ke negara jiran kerana permintaannya yang lebih tinggi di sana iaitu tiga hingga lima kali ganda berbanding harga di sini.

"Dadah ini dipercayai akan dihantar ke Jalan Batu Lintang, Sri Aman dan kemudian dibawa ke negara jiran melalui pintu sempadan berdekatan," ujarnya.

Serbuan di Bintulu pula, Khaw berkata, JSJN Sarawak berjaya merampas 10 kilogram dadah jenis syabu, 170 paket jus serbuk ekstasi dan 577 gram pil ekstasi serta menangkap seorang lelaki dalam serbuan yang dijalankan hari ini.

Jelasnya, dalam tangkapan sekitar jam 11 pagi itu oleh sepasukan polis dari JSJN Sarawak telah menangkap seorang suspek berusia 25 tahun.

"Polis turut merampas 10,000 gram dadah jenis methamphetamine yang berada di dalam kereta suspek. 

"Dengan dipandu arah oleh suspek, polis kemudian menyerbu sebuah rumah kedai dan merampas 170 paket jus (serbuk ekstasi) dan 577 gram pil ekstasi," katanya.

Menurutnya, nilai rampasan dadah dalam kedua-dua serbuan terkini ini adalah bernilai RM412,198.72.

"Jumlah dadah yang dirampas ini dianggar boleh digunakan oleh seramai 68,923 orang penagih dadah," tegasnya.

Pada masa sama beliau memberitahu, polis turut menyita sebuah kereta Mercedes-Benz bernilai RM150,000 dan seutas jam jenama Rolex bernilai RM7,000.

"Dadah yang dirampas adalah untuk pasaran tempatan.

"Permohonan reman akan dibuat pada esok," jelasnya lagi.

Oleh itu, tegas beliau JSJN akan meneruskan siasatan untuk mengesan saki baki ahli sindiket untuk dibawa ke muka pengadilan.

Justeru, beliau berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka. 

"Maklumat boleh disalurkan melalui hotline jsjn di talian 012-208 7222," katanya.
Next Post Previous Post