Peniaga bazar Ramadan pakai cincin, gelang dikompaun serta merta

Pegawai penguatkuasa Bahagian Kesihatan Majlis Perbandaran Sibu (MPS) melakukan pemeriksaan di bazar Ramadan di Desa Satria. Gambar kredit Facebook Mohamad Abdullah Izkandar Roseley

SIBU— Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sibu mengeluarkan 11 kompaun terhadap penjual dan pengendali makanan bazar Ramadan di Farley dan Permai setelah gagal mematuhi Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan yang ditetapkan.

PKD dalam kenyataan berkata, kesemua notis itu dikeluarkan hasil pemeriksaan melibatkan 40 buah gerai di kedua-dua lokaliti sejak Selasa hingga semalam.

“Kesalahan yang paling banyak dilakukan ialah peniaga tidak mengenakan pakaian yang tepat dan memakai perhiasan diri ketika mengendalikan makanan seperti jam, cincin dan gelang tangan.

“Turut dikesan kesalahan di bawah Peraturan 30 iaitu pekerja atau peniaga gerai tidak menghadiri kursus pengendali makanan yang disyaratkan” katanya menurut The Borneo Post. 

Menurutnya, pengendali makanan wajib mendapatkan suntikan antitifoid dan memakai pakaian perlindungan diri untuk menjamin keselamatan dan kebersihan makanan.

Selain itu, peniaga dinasihatkan agar tidak meletakkan makanan di atas lantai, ditutup manakala makanan yang bermasak tidak boleh disimpan melebihi empat jam.

“Setakat ini PKD memeriksa bazar Ramadan di Farley dan Permai dan pemeriksaan ini akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.
Next Post Previous Post