Kes Kevin Morais: Rayuan ditolak, 6 lelaki kekal ke tali gantung

PUTRAJAYA— “Tidak cukup dengan membunuh si mati, kereta si mati juga dibakar, barang-barang peribadi si mati juga dibuang, maka kejadian bunuh ini boleh dikategorikan sebagai kejadian bunuh luar biasa dari biasa-biasa.”

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Hadhariah Syed Ismail berkata demikian selepas membacakan keputusan mengekalkan hukuman gantung sampai mati terhadap enam lelaki bersabit kesalahan membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais, sembilan tahun lalu.

“Mengambil kira kejadian pembunuhan ini adalah sesuatu yang dirancang dengan rapi, keadaan mayat si mati semasa dijumpai menunjukkan kekejaman kesemua OKT, tidak cukup dengan membunuh si mati, kereta si mati juga dibakar, barang-barang peribadi si mati juga dibuang, maka kejadian bunuh ini boleh dikategorikan sebagai kejadian bunuh luar biasa dari biasa-biasa.

“Oleh itu, pada hemat kami, hukuman yang sepadan dengan kesalahan yang dilakukan oleh kesemua OKT adalah hukuman gantung sampai mati,” katanya, memetik BuletinTV3.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim dipengerusikan Hadhariah bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin hari ini.

Hadhariah berkata, setelah setelah meneliti kesemua alasan penghakiman hakim bicara dan keterangan yang dikemukakan di Mahkamah Tinggi, pihaknya mendapati hakim bicara tidak melakukan apa-apa kekhilafan dari segi undang-undang atau fakta.

“Justeru rayuan kesemua OKT terhadap sabitan dan hukuman dalam kedua-dua rayuan ditolak, sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi dalam kedua-dua rayuan itu dikekalkan

“Sabitan dan hukuman yang dikenakan Hakim Mahkamah Tinggi adalah betul,” katanya.

Perayu atau orang kena tuduh (OKT) ialah bekas pakar patologi, Kolonel Dr R Kunaseegaran, 61; pemberi pinjaman wang, S Ravi Chandran, 53; dan empat penganggur, R Dinishwaran, 32; A K Thinesh Kumar, 31; M Vishwanath, 34; serta S Nimalan, 31.

Pada 10 Julai 2020, semua lelaki berkenaan dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah membunuh Kevin Morais.

Mereka didakwa membunuh Kevin Morais, 55, di sebuah lokasi di sepanjang Jalan Dutamas Raya Sentul dan Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya antara jam 7 pagi hingga 8 malam, 4 September 2015.

Mayatnya ditemui dalam tong dram yang diisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, pada 16 September tahun sama.

Pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama Seksyen 34 KK yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Mendiang dilaporkan hilang pada tarikh terbabit dan kali terakhir dilihat meninggalkan kondominium dengan menaiki kereta Proton Perdana dari Menara Duta, Kuala Lumpur, ke pejabatnya di Jabatan Peguam Negara di Putrajaya.

Pihak pendakwaan selaku responden diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, manakala barisan peguam yang mewakili perayu pula terdiri daripada Datuk N.Sivananthan mewakili Dr Kunaseegaran manakala M.Manoharan mewakili Dinishwaran, Burhanudeen Abdul Wahid (Thinesh Kumar), Afifuddin Ahmad Hafifi (Vishwanath), Amer Hamzah Arshad (Nimalan) dan Kitson Foong (Ravi Chandran).
Next Post Previous Post