Fadillah jadi 'pelancong' baru sampai di KLIA
KUALA LUMPUR-- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini menjadi 'pelancong' yang baharu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
"Pagi ini, saya mengadakan lawatan mengejut ke KLIA bagi merasai sendiri pengalaman pelancong asing yang masuk ke Malaysia.
"Bermula di Bangunan Satelit KLIA, saya menjadi sebahagian "penumpang" yang baru mendarat sebelum berjalan ke kaunter imigresen Pintu Ketibaan Antarabangsa.
"Saya kemudian beratur bersama pelancong yang baru tiba untuk pengesahan pasport dengan tempoh menunggu kira-kira 10 minit.
Fadillah menjadi sebahagian "penumpang" yang baru mendarat sebelum berjalan ke kaunter imigresen Pintu Ketibaan Antarabangsa KLIA. |
"Saya kemudian dimaklumkan pegawai kanan Imigresen dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yang bertanggungjawab menjaga urusan di KLIA bahawa tempoh menunggu pada waktu puncak boleh mencecah 1 jam 30 minit atau 2 jam," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, manakala tempoh pada waktu bukan puncak adalah 30 minit.
"Alhamdulilah, pengalaman ini akan dijadikan panduan dalam Mesyuarat Kesesakan Pintu Antarabangsa yang akan diadakan hari ini di Parlimen," katanya.
Beliau turut berterima kasih kepada pegawai Imigresen, MAHB dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut membantu dan menerangkan proses perjalanan kemasukan pelancong selepas dapat menghidu kehadiran beliau di KLIA.