Mangsa terakhir bot karam di Kapit ditemukan

KAPIT— Mangsa terakhir bot karam di Sungai Batang Baleh ditemukan dalam keadaan terapung di perairan Seputin, di sini pagi tadi.

Mayat Iskandar Ibrahim, 28, ditemukan pada jam 11.30 pagi iaitu kira-kira 2 kilometer dari lokasi kejadian karam.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak dalam berkata, mereka menerima makluman dari orang awam ternampak mayat terapung di kawasan Seputin.

“Hasil pengecaman pada pakaian yang dipakai oleh mangsa, didapati mangsa tersebut adalah mangsa terakhir insiden bot karam di SK Lepong Balleh.

“Mangsa terakhir insiden bot karam telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sehubungan itu operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kesembilan hari ini ditamatkan oleh Ketua Polis Daerah Kapit.

Mayat Iskandar Ibrahim mangsa terakhir bot karam di Sungai Batang Baleh, Kapit ditemukan hari ini.

Pada 7 Mac, sebuah bot yang dinaiki lima individu terbalik lalu karam di lokasi Sungai Batang Baleh, berdekatan jeti Sekolah Kebangsaan (SK) Lepong Baleh, Kapit selepas melanggar air berpusar di sungai berkenaan. 

Empat mangsa Iskandar Ibrahim, Sarjan Jonathan Lambet, Amerson John Nain dan Jack Balan dilaporkan hilang manakala seorang lagi mangsa, Moses Ngui diselamatkan oleh orang awam.

Dua mangsa Sarjan Jonathan Lambet, 51, dan pemandu bot, Jack Balan, 44 tahun ditemukan pada 9 Mac manakala mangsa ketiga Amerson John Nain pada 10 Mac.

SAR turut melibatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Dron PDRM, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Pasukan Polis Marin (PPM) Sibu, Pejabat Residen Kapit, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) dan Unit Pengesan K9 dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian.
Next Post Previous Post