Penagih jadi pengedar dadah diberkas

BINTULU— Dua penagih yang menjalankan kegiatan pengedaran dadah di pusat hiburan ditahan dalam Op Bersepadu di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Bintulu Supt. Nixon Joshua Ali berkata, kedua-dua suspek lelaki warga tempatan berusia lingkungan 25 tahun itu disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dan penagihan dadah di kawasan Park City, Bintulu. 

“Semasa ditahan, polis merampas serbuk Ekstasi seberat 134 gram, pil ekstasi 2.7 gram dan kitamin dianggarkan 1.6 gram. Turut disita sebuah kenderaan jenis Honda Civic berwarna hitam. 

“Berdasarkan siasatan, semua dadah ini boleh dibekalkan kepada 40 hingga 50 orang penagih.

“Selain itu ujian saringan awal polis didapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Nixon menambah, suspek pertama disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala suspek kedua disiasat di bawah Seksyen 39A(2) 1952.

Kedua-duanya turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952. 

“Jika sabit kesalahan memiliki dadah di bawah Seksyen 39B ADB 1952 boleh dihukum gantung sampai mati atau jika tidak dihukum mati, boleh dipenjara seumur hidup dan dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali sebatan.

“Manakala jika sabit kesalahan memiliki dadah di bawah Seksyen 39A(2) ADB 1952 boleh di penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali. 

Katanya, jika positif dadah dan disabitkan kesalahan di bawah Sek.15(1)ADB 1952 boleh dikenakan denda tidak lebih RM5000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan pengawasan dua tahun.

“Tangkapan ini merupakan salah satu usaha PDRM dalam mengatasi masalah penyalahgunaan dadah, disamping mencegah aktiviti jenayah di daerah Bintulu ini. 

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan dadah di daerah ini boleh memaklumkan kepada Bilik Gerakan PDRM, IPD Bintulu di talian 086-318304 atau Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Bintulu.,” katanya.
Next Post Previous Post