PADU: Kerajaan Persekutuan hormati keputusan Sarawak

Dato Sri Fadillah merakam gambar bersama 120 penerima duit raya sempena Majlis Iftar Jamaie Nexgen Petra Jaya

KUCHING—Kerajaan Persekutuan menghormati keputusan kerajaan Sarawak menangguhkan pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU), namun mahu tahu sebab di sebalik keputusan itu, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, malah beliau sendiri tidak menerima apa-apa penjelasan berhubung penangguhan daripada pihak kerajaan Sarawak

"Sebagai Kerajaan Persekutuan, kita hormati apa sahaja keputusan yang dibuat kerajaan negeri tetapi kita ingin memahami punca kerajaan Sarawak menangguhkan pendaftaran PADU.

"Kita serahkan kepada pihak kerajaan negeri, jadi dah ada arahan, saya kira rakyat Sarawak akan mengikut arahan di peringkat kerajaan Sarawak,” katanya ditemui pemberita semasa Majlis Iftar Jama'ie Nexgen Petra Jaya 2024 di sini pada Ahad.

Ahli Parlimen Petra Jaya itu menambah, rakyat Sarawak juga tiada halangan untuk menangguhkan pendaftaran PADU sehingga perbincangan telah dilakukan. 

Sejak dilancarkan pada 2 Januari lepas, lebih 7.36 juta rakyat Malaysia atau 35 peratus penduduk negara ini sudah mengemas kini maklumat dalam sistem PADU dengan Sarawak antara negeri merekodkan pendaftaran tertinggi.

Semalam, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan bersama kerajaan Sarawak minggu ini berhubung PADU.

Katanya, ia susulan arahan oleh kerajaan negeri agar pendaftaran dan kemas kini PADU melibatkan kakitangan dan pegawai kerajaan negeri itu ditangguhkan.
Next Post Previous Post