Pemilik anjing ingkar berdepan denda maksima RM5,000

KUCHING—Hukuman berat menanti pemilik anjing yang ingkar mendapat lesen atau membiarkan anjing mereka berkeliaran.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah Sarawak, Dato Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, pemilik anjing yang ingkar memohon lesen berkenaan boleh dikenakan denda maksimum RM5,000 seperti diperuntukkan mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan dan Kawalan Anjing 2018.

“Manakala pemilik anjing yang membiarkan anjing mereka berkeliaran di jalan raya boleh didenda sehingga RM5,000 di bawah Seksyen 37 (3), VPHO 1999 atau sehingga RM2,500 di bawah Seksyen 37 (4),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan yang sama, Dr Rundi berkata, semalam beliau telah menandatangani perintah vaksinasi anto-rabies di bawah Seksyen 40 (1) Ordinan Kesihatan Awam veterinar 1999 yang mewajibkan semua anjing di negeri ini divaksinasi anti-rabies.

“Pemilik atau penjaga anjing yang gagal mematuhi perintah ini boleh didenda sehingga RM2,500 manakala anjing yang terdedah kepada rabies dan tiada bukti vaksinasi yang sah akan ditidurkan.

“Pihak berkuasa akan menjalankan pemeriksaan secara rambang dari rumah ke rumah untuk pematuhan bermula Februari ini,” katanya.

Dr Rundi menambah, orang ramai boleh mendapatkan vaksin anti-rabies anjing percuma di mana-mana pejabat veterinar kerajaan pada waktu pejabat.

Sementara itu beliau mengisytiharkan bahagian Kuching dan Bintulu sebagai kawasan jangkitan rabies selepas 12 daripada 16 sampel anjing yang dikumpul diuji positif penyakit itu.

“Lapan daripada kes positif itu di Kuching, dua kes di Bintulu dan masing-masing satu kes di Padawan serta Bau.

“Semua anjing yang diuji adalah liar dan tidak divaksin,” katanya.

Dr Rundi menambah vaksinasi besar-besaran juga akan dilaksanakan dari semasa ke semasa dan akan dimaklumkan di akaun Facebook rasmi DVS Sarawak.

“Tahun ini kami menyasarkan untuk memberi vaksin sehingga 50,000 ekor anjing,” katanya.

Menurut Jabatan Kesihatan Negeri, Sarawak merekodkan 16 kematian tahun lalu daripada 18 kes jangkitan rabies ke atas manusia.

Jumlah kumulatif kes rabies ke atas manusia kini berjumlah 73 dengan 66 kematian sejak Julai 2017.
Next Post Previous Post