Fasa kedua projek Darul Hana sedang dibangunkan-Abang Johari

Dif-dif kehormat merakam gambar bersama kanak-kanak yang menerima sumbangan Hari Raya

KUCHING-- Projek Darul Hana sudah memasuki pembangunan fasa kedua bagi menempatkan kira-kira 200 keluarga, dijangka siap pada 2026.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek itu dibangunkan di kawasan Sungai Bedaun, Santubong dekat sini adalah untuk keluarga tambahan projek Darul Hana.

"Sekarang kita membangun fasa kedua di Sungai Bedaun yang sedang dalam pembinaan untuk keluarga tambahan fasa kedua Darul Hana.

"Fasa kedua dua ini bagi menempatkan 200 keluarga dan dijangka siap pada 2026," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Iftar Darul Hana 2024 di Hotel Waterfront di sini malam ini.

Premier Sarawak semasa ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Iftar Darul Hana 2024

Dalam pada itu, Abang Johari memberitahu, kerajaan juga sedang mengenal pasti satu lagi kawasan baharu untuk pembangunan projek Darul Hana. 

"Kita akan mengenal pasti satu lagi kawasan untuk kita membangunkan Darul Hana ini berdekatan dengan kampung yang ada sekarang ini," jelas beliau. 

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan daripada Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) kepada 130 golongan dan anak yatim yang mana masing-masing menerima RM150 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM19,500. 

Setiap penerima menerima RM150 untuk meringankan beban mereka yang kurang bernasib baik pada bulan Ramadan ini serta membantu mereka dalam persiapan sambutan Hari Raya Aidilfitri. 

Pada masa sama Pemangku Pengurus Besar LCDA Kusyairi Bostani telah menyampaikan Zakat Perniagaan bagi tahun 2023 berjumlah RM1,910,187.26 kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) yang diwakili oleh Timbalan Pengurus Besar TBS, Bolhassan Iskandar Taibi. 

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Peguam Besar Sarawak Datu Saferi Ali, Pengerusi LCDA Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Dato Husain, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Datu Sr Zaidi Mahdi dan Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Datu Abang Muhammad Shibli Abang Mohd Nailie. 
Next Post Previous Post