Empat lori bawa muatan balak melebihi had ditetapkan ditahan

SIBU-- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sibu menahan empat buah lori balak yang membawa muatan kayu balak semasa dalam rondaan operasi kenderaan barangan di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini malam semalam.

Ketua Cawangan Mohamad Faizal David Jemat, berkata lori berkenaan ditahan kerana disyaki membawa muatan melebihi had dibenarkan seperti mana ditetapkan dalam Lesen Pembawa dikeluarkan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).

“Kesemua lori berkenaan kemudiannya diarah ke perkarangan JPJ Sibu untuk ditimbang menggunakan timbang mudah alih bagi menentukan jumlah berat keseluruhan muatan yang dibawa. Selepas ditimbang mendapati peratusan lebih muatan antara 59.05 hingga 86.90 peratus daripada had yang dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu, katanya, saman dikeluarkan ke atas pemandu atas kesalahan gagal mematuhi syarat-syarat ditetapkan dalam Lesen Pembawa di bawah Seksyen 19(1)(b)(vi) Akta Pelesenan Kenderaan Perdagangan (ALPKP) 1987 dan melakukan kesalahan serta boleh didenda di bawah Seksyen 19(3) akta sama. 

Tegas beliau, Seksyen 19(3) membawa hukuman denda tidak kurang RM1,000 tetapi tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tempoh satu tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.  

Dalam pada itu, beliau memberitahu JPJ akan menghadapkan kesemua pemandu tersebut ke mahkamah dalam tempoh terdekat.

Tambahnya, JPJ memandang serius lori-lori yang membawa muatan melebihi had dibenarkan dan secara bahaya kerana bukan setakat membahayakan keselamatan pengguna-pengguna jalan raya lain malah boleh menyebabkan kerosakan jalan raya.

Beliau berkata, operasi untuk mengesan lori-lori yang membawa muatan berlebihan dan secara bahaya di daerah ini akan sentiasa dilaksanakan secara berterusan.

Justeru, beliau menggesa pengusaha-pengusaha lori juga turut bersama-sama mengambil tanggungjawab dengan tidak membawa muatan berlebihan demi mengelakkan berlakunya kerosakan jalan raya serta menjaga keselamatan pengguna-pengguna jalan raya lain.
Next Post Previous Post