Myvi keluar simpang terus masuk lorong kanan bertembung Hilux, penumpang maut

KUCHING-- Seorang wanita maut selepas kereta Perodua Myvi yang dinaikinya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di Batu 12 Jalan Kuching-Serian semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, DSP Lim Jaw Shyong berkata, dalam kemalangan sekitar jam 10.23 pagi itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Beky Nyuu, 55, beralamat di Kampung Taee, Serian.

"Kemalangan berlaku di Batu 12 Jalan Kuching-Serian menghala ke Kuching berhampiran Petronas Batu 12 yang melibatkan sebuah Hilux dan sebuah Myvi.

"Kejadian berlaku semasa Hilux dipandu seorang lelaki, 24, bersama penumpang wanita, 26, bergerak lurus di lorong kanan, secara tiba-tiba telah bertembung dengan Myvi dipandu lelaki warga emas, 61, bersama seorang penumpang (mangsa) yang keluar dari simpang sebelah kiri dan terus hendak masuk ke laluan kanan. 

"Oleh kerana jarak terlalu dekat Hilux terbabit tidak sempat membrek lalu bertembung," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, akibat pertembungan itu Myvi terbabit terbabas ke kiri jalan dan masuk ke dalam longkang.

"Akibat dari pelanggaran Hilux tersebut mengalami kerosakan di bahagian sisi kiri kenderaan manakala Myvi mengalami kerosakan di bahagian hadapan, sisi kiri dan sisi kanan. 

"Pemandu dan penumpang Hilux tidak mengalami sebarang kecederaan. 

"Manakala pemandu Myvi mengalami
cedera ringan luka di beberapa anggota badan sementara penumpang mengalami kecederaan di bahagian kepala," jelasnya.

Menurutnya lagi penumpang Myvi telah meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Umum Sarawak yang disahkan oleh Pegawai Perubatan pada jam 12.55 tengah hari semalam.

Mengulas lanjut, Lim berkata cuaca masa kejadian adalah baik, kawasan adalah satu hala mempunyai tiga lorong manakala kadar penglihatan adalah baik. 

Tegasnya, kes masih dalam siasatan lanjut dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Next Post Previous Post