Sarawak Energy: 99.4% kediaman ada letrik

KUCHING -- Kadar elektrifikasi domestik di seluruh Sarawak telah mencapai 99.4 peratus setakat penghujung tahun 2023. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Berhad (SEB) Datuk Sharbini Suhaili berkata, liputan bekalan elektrik buat masyarakat luar bandar termasuk penduduk di kawasan terpencil pula telah mencapai 98.4 peratus.

Katanya, kejayaan ini hasil daripada usaha dan sokongan berterusan daripada Kerajaan Sarawak dan seluruh rakyat Sarawak.

“Kami sentiasa komited dalam menyediakan sumber tenaga diperbaharui untuk Sarawak sambil menyokong pembangunan sosio ekonomi dan kelestarian negeri ini selaras dengan matlamat Sarawak untuk mencapai status negeri berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.

“Saya juga berharap agar kerjasama yang erat ini akan terus berpanjangan dalam usaha kita semua untuk memastikan Sarawak mencapai status negeri maju menjelang tahun 2030,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Berbuka Puasa bersama Sarawak Energy di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Datuk Sharbini juga mengingatkan orang awam supaya melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan di mana-mana kemudahan fasiliti elektrik Sarawak Energy.

“Anda boleh membuat pelbagai laporan termasuk sebarang gangguan bekalan atau kerosakan kabel dengan menghubungi Customer Service Centre atau melalui aplikasi mudah alih kami iaitu ‘SEB Cares,” ujar beliau.

Sementara itu, dalam majlis tersebut SEB turut memberi sumbangan kepada 11 badan-badan organisasi sempena bulan Ramadan.

Kredit - EDISI UKAS
Next Post Previous Post