Kerajaan Sarawak bina baharu rumah mangsa kebakaran di Kampung Haji Baki

KUCHING-- Kerajaan Sarawak melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memperuntukkan bantuan bina rumah sebanyak RM70,000 bagi setiap mangsa kebakaran yang terjejas di Kampung Haji Baki.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, IR Lo Khere Chiang berkata, peruntukan itu disalurkan JPBNS yang dipengerusikan oleh Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas bagi membina baharu rumah mangsa yang musnah akibat kebakaran tersebut yang berlaku awal pagi semalam.

"Kerajaan negeri melalui JPBNS memperuntukan RM70,000 bagi setiap rumah untuk membina semula rumah mangsa-mangsa terjejas.

"Peruntukan ini bukan diberi secara tunai kepada mangsa tetapi disalurkan dengan membina rumah mangsa-mangsa ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Buat masa ini kata Lo berkata, mangsa-mangsa kebakaran ditempatkan di rumah pangsa milik kerajaan negeri sehingga rumah baharu mereka siap sepenuhnya.

"Sewa rumah pangsa ini adalah RM250 sebulan tetapi kerajaan bantu bayar RM200 sebulan. Jadi penghuni hanya perlu bayar RM50 sahaja," jelasnya.

Dalam kejadian itu, seramai 20 penghuni empat rumah di Kampung Haji Baki di sini, hilang tempat tinggal apabila kediaman mereka musnah sepenuhnya dalam kebakaran, hari ini.

Turut terjejas dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, 21 penghuni empat lagi rumah yang terbakar kira-kira 30 peratus.

Dalam pada itu, Lo yang melawat mangsa kebakaran di Kampung Haji Baki turut melahirkan rasa puas hati dengan bantuan daripada pelbagai sumber. 

"Usaha ini bertujuan untuk meringankan beban yang dihadapi oleh mangsa kebakaran," katanya.

Pada masa sama beliau berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat juga telah mengagihkan bantuan kepada mangsa-mangsa kebakaran seperti tilam dan selimut selain keperluan asas. 

Selain itu, katanya, Yayasan Sarawak akan menyediakan baucar kepada pelajar manakala Angkatan Pertahana Awam Malaysia (APM) turut menyumbang keperluan asas dan makanan.
Next Post Previous Post