Edar dadah di pusat hiburan, tiga warga asing ditahan

Pelbagai jenis dadah yang dirampas polis. Gambar ihsan PDRM

MIRI— Tiga lelaki warga asing ditahan di sebuah pusat hiburan di sini kerana disyaki terbabit kegiatan pengedaran pelbagai jenis dadah seberat 4.31 kilogram (kg) pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Alexson Naga Chabu, berkata hasil maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak telah menyerbu sebuah pusat hiburan kira-kira jam 9 malam.

“Dalam serbuan itu, polis merampas barang disyaki dadah jenis Ecstasy, Erimin 5, Ketamin dan Mushroom berjumlah 4313.60 gram. Nilai rampasan barang disyaki dadah dan sitaan wang tunai dianggarkan bernilai RM57,554.17.

“Kes ini disiasat dibawah Seksyen 39B, Seksyen 39A(2), Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan dikenakan tidak kurang 12 sebatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pihak polis juga ingin menasihati orang awam yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah ini untuk segera melaporkannya ke Balai Polis berhampiran agar aktiviti ini dapat dibendung dan dibanteras bersama.
Next Post Previous Post