Tentera Darat Gagalkan Cubaan Seludup 150 Karton Rokok Ke Indonesia

BA’KELALAN-- Tentera Darat Malaysia (TDM) menggagalkan cubaan menyeludup 150 karton rokok ke Indonesia, semalam.

Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (MK PMTTD) dalam kenyataan berkata, kejayaan itu melalui unit yang sedang melaksanakan operasi di bawah formasi Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen) di Sektor Op Jagakawan, Ba’kelalan.

"Sepasukan anggota tentera yang sedang melaksanakan penugasan rondaan di Kampung Punang Kelalan, Ba’kelalan, iaitu jarak lebih kurang 1,200 meter dari sempadan Indonesia telah menjumpai tiga bungkusan hitam yang mencurigakan pada jam 1.30 petang," katanya kenyataan itu.

Hasil daripada pemeriksaan mengesahkan terdapat 150 karton rokok di dalam
bungkusan tersebut di mana 100 karton rokok adalah rokok jenama Premium manakala 50 karton lagi adalah jenama Era. 

Kesemua hasil rampasan dianggarkan berjumlah RM 8,250.

Laporan polis telah dibuat di Pondok Polis Ba’kelalan dan kesemua barangan rampasan telah diserahkan kepada pihak Kastam untuk tindakan selanjutnya.
Next Post Previous Post