Kes songlap RM15 juta wang JKM, netizen luah rasa sukar dan kelewatan dapatkan bantuan JKM
KUCHING-- Pengguna media sosial kini mengaitkan kes seorang bekas pembantu tadbir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang didakwa atas pengubahan wang haram dan pecah amanah berjumlah RM15 juta dengan situasi kesukaran dan kelewatan mendapatkan bantuan daripada jabatan tersebut.
Rata-rata netizen meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan lelaki tersebut yang dikatakan pecah amanah dalam memikul tanggungjawab menjaga kebajikan untuk rakyat.
Antara keluh kesah yang dikongsikan pengguna Facebook dalam hantaran berita berkaitan kes itu mengatakan kesukaran mendapatkan bantuan JKM ketika ini mungkin kes berkenaan salah satu penyebabnya.
"Nak minta bantuan dengan JKM memang susah sangat, segala benda dia soal dan siasat. Rupa-rupanya duit (bantuan kebajikan) untuk sendiri".
Selain itu, netizen juga mengatakan permohonan bantuan dari JKM sukar untuk mendapatkan kelulusan.
"Patutlah golongan yang memerlukan memohon bantuan dari JKM susah nak dapat dan tak lulus, duit dah kena songlap".
"Ini baru anak ikan, mesti ada jerung besar yang 'ngap' lebih banyak. Semoga semua dibongkar dan dihumban ke muka keadilan," kata netizen sambil menyokong pelaksanaan skim kontrak dan KWSP yang diperkenalkan kerajaan bagi menggantikan skim pencen.
Pada masa sama, seorang mangsa banjir turut berkongsi kesukaran untuk mendapatkan bantuan banjir.
"Beberapa kali sudah dilanda banjir, duit bantuan banjir tidak dapat-dapat sampai sekarang," katanya.
"Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Alhamdulillah Allah dah tunjuk. Banyak lagi orang sudah tidak dapat bantuan gara-gara kes seperti ini," kongsi netizen.
Terdahulu, Mohd Zairull Arzuan Mohd Shamsuddin Ja’afar, 38, mengaku tidak bersalah di hadapan Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah berjumlah RM15 juta.
Tertuduh membuat pengakuan itu sebaik sahaja 37 pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan empat hakim Iris Awen Jon, Afidah Abdul Rahman, Musli Abdul Hamid dan Saiful Bahari Adzmi.
Berdasarkan 34 pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) kerana memindahkan sejumlah keseluruhan RM 4,734,221.31 dalam beberapa akaun bank miliknya, hasil aktiviti menyalahi undang-undang.
Mohd Zairull didakwa melakukan kesalahan itu sekitar tahun 2020 sehingga 2022.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara bagi tempoh tidak melebihi 15 tahun dan boleh dikenakan denda lima kali ganda daripada jumlah nilai hasil wang haram atau denda RM5 juta dan yang mana lebih tinggi.
Bagi tiga pertuduhan lagi, dia didakwa di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah wang gaji pekerja JKM Sarawak berjumlah keseluruhan RM10,272,350.13 sebagai penjawat awam yang memegang jawatan Pembantu Tadbir Kewangan.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu sekitar tahun 2019 sehingga 2022.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang daripada dua tahun atau tidak melebihi 20 tahun serta sebatan dan boleh dikenakan denda.
Dalam pada itu, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin tunai bagi kesemua pertuduhan RM285,000 berserta dua penjamin tempatan.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes pada 10 Mei depan.