Kes pegawai tentera: Lembaga Siasatan akan ditubuh, pegawai kanan dilepas daripada tugas

KUCHING-- Tentera Darat Malaysia (TDM) akan menubuhkan Lembaga Siasatan peringkat dalaman untuk mengenal pasti punca-punca kejadian dakwaan salah guna kuasa dan menggunakan kekerasan oleh seorang Pegawai Kanan Tentera Darat yang kini bertugas di Sarawak

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan dalam kenyataan media berkata, lembaga itu untuk mengenal pasti punca-punca kejadian bagi menilai secara profesional dan terperinci berhubung dakwaan tersebut. 

"Jika sekiranya terbukti terdapat salah laku dan guna kuasa seperti yang di dakwa, pihak TDM akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peraturan dan arahan Tentera Darat sedia ada.

"Sebagai tindakan, pegawai kanan berkenaan telah dilepaskan daripada tugas pemerintahan bagi membolehkan Tentera Darat melaksanakan siasatan secara telus dan menyeluruh," katanya.

Tambah beliau, pihaknya mengesahkan dan menerima laporan berhubung dakwaan tersebut.

"Laporan polis yang dibuat oleh pengadu iaitu seorang Pegawai Tentera pada
3 Mac 2024, telah tular di media sosial mendakwa pengadu telah ditampar di bahagian kiri muka dan ditendang di bahagian perut oleh Pegawai Kanan berkenaan sehingga menyebabkan pengadu mengalami kecederaan pada tisu lembut di atas mata dan blunt trauma. 

"Kejadian berlaku semasa pegawai berkenaan sedang menjalani latihan peringkat formasi," katanya.

Tegas beliau lagi, pihaknya memandang serius berkenaan dakwaan ini dan akan berusaha mengenal pasti punca kejadian serta tidak akan berkompromi terhadap pelaku jika terbukti bersalah tanpa mengira pangkat dan jawatan.

Justeru, katanya, TDM berharap agar semua pihak tidak menularkan laporan berkenaan dan tidak meninggalkan sebarang komen negatif yang boleh mengganggu proses siasatan sehingga selesai dilaksanakan.

Sebelum ini, tular video didakwa berkaitan kejadian tersebut dalam Telegram Edisi Siasat.
Next Post Previous Post