Remaja lelaki 13 dan 14 tahun maut
KUCHING-- Dua remaja lelaki berusia 13 dan 14 tahun maut selepas motosikal ditunggang mereka terlibat kemalangan di Jalan Sungai Tapang berhampiran Markas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)) di sini.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kedua-dua remaja terbabit yang dipercayai tidak lagi bersekolah, terlibat kemalangan sekitar jam 5 pagi tadi.
"Sekitar jam 7 pagi, bilik Gerakan Padawan telah menerima panggilan awam yang menyatakan berlaku kemalangan jalan raya kendiri di sekitar Jalan Sungai Tapang berhampiran Markas TUDM.
"Hasil siasatan di tempat kejadian dan berdasarkan keterangan saksi bebas mendapati kemalangan jalan raya itu berlaku sekitar jam 5 pagi melibatkan sebuah motosial yang tunggang remaja lelaki berusia 14 tahun bersama pembonceng berusia 13 tahun, kedua-dua berasal dari Kampung Sungai Tapang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Abang Zainal berkata, kemalangan berlaku apabila motosikal terbabit bergerak dari arah Kampung Sungai Tapang, Kota Sentosa hendak menghala ke arah Kuching.
"Sampai di jalan berselekoh menuruni bukit di sekitar Jalan Sungai Tapang, tiba-tiba motosikal tersebut hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar tiang telefon yang berada di bahu sebelah kiri jalan sebelum kedua-dua mangsa dan motosikal tercampak di bahu sebelah kiri jalan raya," katanya.
Jelasnya, akibat kemalangan itu kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Sentosa yang bertugas.
Tambahnya, cuaca masa kejadian adalah hujan, jalan raya basah manakala kawasan jalan raya adalah berselekoh menuruni bukit di mana kadar penglihatan adalah gelap.
Tegasnya, kes masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.