JSJN tubuh Sekretariat Nukleus Narkotik di Tebedu

KUCHING— Sekretariat Nukleus Narkotik (SNN) akan diwujudkan di sempadan Tebedu dalam masa terdekat bagi memerangi kegiatan pengedaran dadah ke Sarawak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Dato’ Khaw Kok Chin, berkata ia merupakan langkah strategik dalam memerangi isu penyalahgunaan dadah di negeri ini.

“SNN berfungsi sebagai pusat maklumat dan perhubungan antara agensi tempatan dan bantuan mereka dalam bertukar maklumat berkaitan pengedaran dadah.

“Ia bertujuan memastikan tindakan pantas dalam mengendalikan maklumat berkaitan dadah dengan menyalurkan terus maklumat tersebut kepada Bukit Aman dan kontinjen Sarawak,” katanya.

Dato’ Khaw semasa kunjungan hormat kepada Premier Sarawak di Wisma Bapa Malaysia hari ini.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini, pada Selasa, menurut Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Dalam perkembangan lain, Khaw berkata sejumlah 128 jawatan kosong bagi pegawai polis JSJN akan dibuka di 13 daerah di Sarawak sebagai langkah memperkasa jabatan itu.

Menurutnya, ini bertujuan untuk mengisi kekosongan jawatan di daerah yang memerlukan lebih ramai pegawai penguat kuasa.

“Kami akan mendapatkan pegawai polis yang berpengalaman untuk mengisi kekosongan jawatan di lokasi yang tiada anggota dalam 13 daerah ini,” katanya.

Turut hadir Timbalan Pengarah Narkotik SAC Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali dan Ketua JSJN Sarawak ACP Mustafa Kamal Ghani Abdullah.
Next Post Previous Post