2 Individu Di Sibu Kerugian RM42,526 Terpedaya Pinjaman Wang Dan Pelaburan Tidak Wujud

SIBU-- Dua individu mengalami kerugian RM42,526 selepas terpedaya dengan pinjaman wang dan pelaburan tidak wujud secara atas talian baru-baru ini.

Laporan berhubung kes itu diterima Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, bagi kes pertama mangsa merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur dalam lingkungan 50-an, seorang pengurus syarikat swasta telah tertarik dengan iklan pinjaman wang di laman sosial
Facebook pada 14 Mac lalu.

“Mangsa kemudiannya telah berhubung dengan wakil syarikat pinjaman
melalui WhatsApp untuk membuat pinjaman sebanyak RM35,000. Mangsa telah diarahkan untuk
menyerahkan dokumen pengenalan diri bagi tujuan pendaftaran permohonan pinjaman dan diminta untuk membuat bayaran bagi tujuan pemprosesan pinjaman. 

“Tanpa berfikir panjang, mangsa telah membuat lima kali pindahan wang berjumlah RM26,240 ke dalam dua akaun bank tempatan seperti mana diarahkan oleh suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, selepas kesemua transaksi pindahan wang dilakukan wang pinjaman masih belum dikreditkan ke dalam akaun mangsa.

“Bagi kes kedua mangsa merupakan seorang wanita warga tempatan berumur dalam
lingkungan 40-an, bekerja sebagai khidmat pelanggan telah menekan pautan
berkenaan kerja sambilan dan menerima pesanan ringkas yang memperkenalkan diri sebagai Olivia
menawarkan mangsa untuk menyertai skim pelaburan secara atas talian. 

“Mangsa tertarik dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan 30 peratus sehingga 50 peratus bagi setiap pelaburan berdasarkan tugasan yang diberikan,” ujarnya.

Katanya, mangsa telah membuat lima kali pindahan wang berjumlah RM16,286 ke dalam tiga akaun bank tempatan seperti mana diarahkan oleh suspek. 

“Selepas kesemua transaksi pindahan wang dilakukan, suspek mengarahkan mangsa untuk memasukkan lagi wang sejumlah RM40,00 namun mangsa berasa curiga dan menyedari telah ditipu,”tegasnya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Next Post Previous Post