Jerung sindiket penyeludupan tumpas, SPRM sita 8 kereta mewah

KUALA LUMPUR-- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita lapan kenderaan mewah bernilai kira-kira RM6 juta milik individu yang dipercayai terbabit sindiket penyeludupan tembakau, arak dan rokok dalam operasi khas sekitar Lembah Klang, Isnin lalu.

Antaranya dua kereta mewah masing-masing Lamborghini dan Toyota serta setiap sebuah Lexus, Mercedes, BMW dan Volvo dianggarkan bernilai RM6 juta.

Menurut SPRM dalam kenyataan hari ini,
operasi berkenaan dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Kenderaan ini disita daripada beberapa individu berjawatan sebagai pemilik syarikat serta orang tengah yang membuat bayaran wang sogokan kepada pegawai-pegawai di sebuah agensi penguatkuasa.

"Selain itu, sindiket ini juga dikesan terbabit aktiviti pengubahan wang haram dengan mencuci duit menggunakan akaun perniagaan ‘syarikat hantu’, melalui pengurup wang dan syarikat pinjaman wang berlesen," kata kenyataan itu 

Kegiatan penyeludupan sindiket ini dipercayai telah menyebabkan ketirisan hasil cukai dianggarkan lebih dari RM400 juta.

“Sindiket ini telah memberi wang rasuah lebih RM8 juta kepada beberapa individu termasuk penjawat awam bagi melancarkan kegiatan penyeludupan,” katanya.

Menurut SPRM, sindiket ini dipercayai menggunakan modus operandi dengan menggunakan akaun keldai bagi melakukan transaksi pembayaran wang rasuah kepada penjawat awam yang bersekongkol dengan mereka.

Pengarah AML SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan sitaan terhadap lapan kenderaan mewah berkenaan dan individu-individu yang ditahan telah disiasat di bawah Seksyen 17(a) dan Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.
Next Post Previous Post