TDM gagalkan cubaan seludup bawang ke Indonesia

BAU -- Cubaan seorang lelaki warga tempatan berusia 47 tahun meloloskan diri membawa muatan sebanyak 340 bungkus bawang import India untuk diseludup ke negara jiran Indonesia dipatahkan pihak Tentera Darat Malaysia (TDM) hari ini.

Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (MK PMTTD) dalam kenyataannya berkata, unit yang sedang melaksanakan operasi di bawah formasi Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen) telah berjaya mematahkan aktiviti penyeludupan barang di Sektor Op Awas/Keris Parang di Bau.

"Sepasukan anggota tentera yang sedang melaksanakan penugasan rondaan di Ladang Sawit Empaling, Bau, iaitu jarak lebih kurang 400 meter dari sempadan Indonesia telah menahan sebuah lori tempatan dalam keadaan tertutup dan mencurigakan cuba memasuki negara Indonesia menggunakan jalan tidak sah pada jam 11.15 pagi.

"Kesemua hasil rampasan termasuk sebuah lori Mitsubishi Fuso dianggarkan berjumlah RM 158,960.00," kata kenyataan itu.

Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bau dan kesemua barangan rampasan telah diserahkan kepada pihak Kastam Kuching untuk tindakan selanjutnya.
Next Post Previous Post