Jangan Lakukan Pembakaran Terbuka - Kim Shin

MIRI-- Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri kini menguatkuasakan kawalan dan rondaan di kawasan yang kerap berlaku kebakaran di Miri bagi mengelak kebakaran tanah gambut yang boleh mengakibatkan fenomena jerebu.

Merujuk kepada situasi kebakaran berlaku di Miri,Menteri bertanggungjawab JPBB Miri, Dato Sri Lee Kim Shin, dalam kenyataan hari ini mengingatkan semua pihak agar tidak melakukan pembakaran terbuka, membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau, mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab menceroboh tanah lapang kepunyaan kerajaan sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja.

"Terdahulu pada Khamis, semua agensi di bawah JPBB Miri telah menghadiri satu mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengerusi JPBB MiriJamalie Busri bagi membincangkan strategi pencegahan kebakaran tanah gambut antaranya melalui pengawasan darat serta pemantauan dengan peralatan pengawasan berteknologi tinggi iaitu menggunakan thermal drone M30T selain penyediaan keperluan fasiliti pemadaman seperti jentera berat dan pam air," katanya.

Dalam pada itu, katanya, maklumat daripada Pejabat Meteorologi Miri, bahawa kini kita berada di penghujung Monsun Timur Laut yang akan berakhir pada Mac. 

"Miri akan mengalami musim kering iaitu memasuki fasa Monsun Barat Daya yang membawa kepada kadar bilangan hujan yang rendah dan keadaan ini dijangka berlaku sehingga September.

"Orang ramai juga diminta untuk memberikan kerjasama memadamkan kebakaran kecil serta membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi sebarang aktiviti pembakaran terbuka yang dikesan," ujarnya.
Next Post Previous Post