PETROS: Tiada had tempoh tukar tong kuning ke merah

KUCHING-- Tiada had tempoh ditetapkan untuk orang ramai menukarkan tong silinder gas petroleum cecair (LPG) berwarna kuning kepada LPG Petroleum Sarawak Berhad (PETROS).

Naib Presiden Pengupayaan Sumber Manusia dan Perhubungan PETROS Ismail Said berkata, pengguna boleh menukar tong gas kuning mereka bila-bila masa sahaja.

"Jika tong gas kuning masih ada gunalah sampai habis, lagipun tiada had tukar silinder gas LPG kuning kepada silinder gas LPG Petros," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Sinei Sinei PETROS Bersama RTM Sarawak di Surau Darul Islam, Kampung Bandong di Sibu, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail berkata, bekalan LPG PETROS mencukupi untuk musim perayaan Aidilfitri dan Gawai Dayak serta perayaan seterusnya.

"Justeru, masyarakat di Sarawak digesa supaya tidak terlalu bimbang tentang bekalan gas LPG tersebut, cukup untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri dan perayaan akan datang iaitu Gawai dan perayaan seterusnya," tambahnya.

Menurutnya lagi, tiada lagi silinder gas LPG kuning dalam masa enam bulan akan datang dan pengedarannya akan dihentikan.

Oleh itu, tegasnya, mereka yang masih mempunyai silinder gas LPG kuning disarankan menggunakannya sehingga habis kerana tiada tarikh luput atau tempoh untuk menukarnya. 

"Tong gas kita mencukupi termasuk untuk kegunaan perayaan, jangan bimbang," jelasnya sambil menambah terdapat 65 pengedar sah silinder gas LPG PETROS di seluruh Sarawak di mana Sibu mempunyai lapan pengedar sah.

Beliau memberitahu, harganya tetap RM26.60 dan orang ramai boleh menghubungi talian 1300-882-122 untuk sebarang masalah.

Terdahulu, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I Datuk Dr Annuar Rapaee menyempurnakan Program Sinei Sinei PETROS Bersama RTM Sarawak di Surau Darul Islam, Kampung Bandong, Sibu.

Dalam program itu, PETROS menyumbang dua tong gas LPG PETROS kepada Surau Darul Islam.

Pada masa sama Dr Annuar turut mengagihkan 1,000 bubur asyura kepada orang ramai sempena program tersebut.
Next Post Previous Post